KESIHATAN

               Tiroid buat janin terencat

APABILA berbicara mengenai penyakit tiroid atau kelenjar di leher, ramai membayangkan ia benjolan bengkak pada bahagian itu. Namun tahukah anda tidak semua pesakit tiroid menunjukkan tanda bengkak pada bahagian itu?
Ia juga tiada tanda awal seperti rasa kurang selesa atau sakit yang biasa dirasai misalnya penyakit gastrik yang akan berasa pedih pada hulu hati. Pun begitu, ia dapat dikesan apabila seseorang itu kerap berpeluh, menggeletar, kuat makan, mudah marah dan lain-lain.

Tiroid adalah kelenjar endokrin berbentuk seakan-akan rama-rama dan mengeluarkan hormon tiroksin atau T4 dan liothyronine atau T3 yang sangat penting bagi kesihatan badan secara keseluruhan. Tiroid terletak di pangkal leher dan depan saluran pernafasan (trakea) serta saluran makanan.

Hormon ini mengawal metabolise (pengeluaran tenaga) manusia. Jika tiroid tidak berfungsi dengan sempurna, ia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, terutama terhadap berat badan, kemurungan dan tahap tenaga.


Perunding Perubatan Endokrinologi Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Lim Soo San berkata, ada dua jenis tiroid iaitu hipertiroid dan hipotiroid yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki.

“Empat nisbah satu gejala tiroid menyerang golongan wanita berusia 20-an ke atas kerana sebab dan alasan yang masih tidak diketahui hingga kini.

“Kebanyakan masyarakat pula masih tidak mengambil serius penyakit ini yang dirasakan tidak penting berbanding penyakit lain.

“Sebenarnya, tiroid boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera, apatah lagi kepada ibu mengandung serta bayi dalam kandungan yang turut menyebabkan keguguran janin, kelahiran pramatang, janin bersaiz kecil, craniosynostosis dan seumpamanya,” katanya, baru-baru ini.

Dianggarkan 200 juta penduduk dunia mengalami masalah ini tetapi masih ramai tidak mendapatkan rawatan kerana gejala ini dianggap biasa serta tidak berbahaya.

Kira-kira 10 hingga 20 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah ini dan meningkat kepada 15 hingga 20 peratus apabila mencecah usia 60 tahun manakala lelaki berusia 60 tahun ke atas, catatan kes hanya sekitar lima hingga 10 peratus.


Apakah hipertiroid?

Kadar hormon tiroid yang berlebihan dan terlalu aktif dikenali sebagai hipertiroid. Biasanya ia disebabkan penyakit auto imun manakala badan manusia pula menghasilkan antibodi yang mampu merangsang kelenjar tiroid. Hipertiroid berlaku apabila kelenjar tiroid berfungsi terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroksin.


Simptom hipertiroid:

  • Hilang berat badan

  • Kerap buang air besar

  • Sering berpeluh

  • Berdebar

  • Menggeletar

  • Penglihatan terjejas

  • Lumpuh kaki, terutama lelaki

  • Perbezaan pada jari tangan dan kulit di bahagian betis

  • Bertambah selera makan


    Rawatan hipertiroid

    Rawatan penyakit lazimnya melalui ubat-ubatan. Ada juga pesakit diberi rawatan radioaktif iodin, terutama bagi kes nodular goiter dan adenoma toksik, tetapi jarang yang memerlukan pembedahan.


    Apakah hipotiroid?

    Hipotiroid disebabkan penyakit auto imun dan selepas seseorang menjalani pembedahan pembuangan tiroid atau mengambil radioaktif iodin. Ia berlaku kerana kelenjar tiroid tidak berfungsi dengan baik di samping tidak mampu dihasilkan secukupnya.


    Simptom hipotiroid:

  • Kaki bengkak

  • Ingatan terganggu

  • Lembap

  • Malas

  • Kuat tidur

  • Badan sering terasa sejuk

  • Boleh merosakkan jantung jika tidak segera dirawat

  • Pesakit yang mengalami penyakit ini mudah dirawat, tetapi terpaksa mengambil tiroksin seumur hidup yang selamat dan tiada kesan sampingan


    Hipotiroidisme kongenital

    Biasanya ia berlaku di kalangan bayi disebabkan tiroid mereka tidak berfungsi secara normal. Di Barat, bayi yang mengalami masalah ini biasanya dikenal pasti selepas dilahirkan kerana negara berkenaan menjalankan ujian penyaringan ke atas setiap bayi.

    Lazimnya bayi yang ada masalah tiroid menunjukkan tanda seperti sukar bernafas, sukar menyusu, hernia pada pusat, kelihatan biru, jaundis, serta lewat tumbesaran.

    Secara purata, seorang daripada 4,000 bayi dilahirkan menghadapi masalah tiroid tidak berfungsi.


    Rawatan

    Wanita hamil disaran menjalani terapi penggantian hormon dalam bentuk pil makan yang diambil setiap hari seumur hidup. Tablet natrium levothyroxine perlu diambil 30 minit sebelum meningkatkan penyerapan hormon.



  •                  

                       Keajaiban jantung


    JANTUNG adalah organ terpenting di dalam tubuh manusia. Ia mengepam darah yang membawa oksigen dan nutrien ke semua sel dalam badan. Denyutan pertama jantung bermula seawal empat minggu dalam kandungan dan hanya berhenti apabila manusia mati.
    Bermula daripada satu sel yang membiak selepas persenyawaan, sebuah organ jantung adalah satu rangkaian otot khas (myocardium) yang disaluti lapisan tisu dinamakan pericardium. Di dalam jantung mengandungi empat kaviti (chamber) yang dipisahkan oleh injap supaya darah mengalir searah saja.

    Secara purata, jantung berdenyut pada kadar 70 denyutan seminit, menjadikan lebih 100,000 kali sehari dan 36 juta kali setahun. Jika seseorang itu berumur 70 tahun, jantungnya berdenyut sebanyak 2.5 bilion kali.

    Jantung dapat mengepam darah ke semua sel dalam masa kurang seminit. Dalam sehari, ini membabitkan perjalanan 7,570 liter darah sejauh 96,560 kilometer salur darah yang berada di semua organ dalam badan.


    Kerja ini disempurnakan dengan baik oleh satu organ yang hanya sebesar satu genggam tangan dan berat 0.3 kilogram (kg). Allah menciptakan satu organ yang relatifnya kecil tetapi fungsinya meliputi seluruh badan manusia dan tanpanya manusia tidak boleh hidup.

    Semua sel memerlukan oksigen dan nutrien untuk hidup, termasuk otot jantung. Maka, arteri koronari membekalkan darah kepada otot jantung supaya ia dapat meneruskan kerja mengepam darah ke seluruh badan.

    Jika satu struktur di dalam jantung tidak dapat berfungsi dengan baik, ia menyebabkan satu penyakit yang mempunyai simptom tertentu. Jadi secara amnya, penyakit jantung boleh berpunca daripada masalah:


  • Otot (myocardium) seperti jantung bengkak atau tebal

  • Lapisan jantung (pericardium) seperti perikarditis

  • Injap jantung seperti injap sempit atau bocor

  • Salur darah koronari – pembentukan plak aterosklerosis yang boleh menyebabkan serangan jantung

  • Struktur lain di dalam jantung – seperti jantung berlubang

  • Elektrikal yang membabitkan denyutan jantung


    Penyakit salur darah koronari dibincangkan dalam artikel sebelum ini, jadi saya akan cuba mengupas penyakit lain. Ilmu perubatan dinamakan ilmu perubatan moden sekarang ini berpandukan kepada kajian teliti yang dijalankan ke atas organ jantung seperti mana ia dicipta Allah.

    Ilmu ini sebenarnya diasaskan oleh pakar perubatan Islam pada zaman kegemilangan Islam dulu. Malangnya selepas kejatuhan zaman itu, segala tamadun dan ilmu ini diceduk oleh sarjana Eropah.

    Ini yang menyebabkan kekeliruan pada masyarakat sekarang ini iaitu ilmu perubatan moden dianggap berasal dari Barat dan tidak Islamik.

    Banyak perubatan alternatif mengambil peluang daripada kekeliruan ini untuk menjaja sebagai perubatan Islam, sedangkan mereka bukan ahli di dalam ilmu perubatan.

    Hakikatnya, ilmu perubatan moden ini ialah ilmu perubatan berasas kepada Islam yang mengkaji tubuh badan manusia seperti yang diciptakan Allah. Ilmu yang boleh membawa pengkajinya lebih dekat dengan Allah kerana menyedari betapa hebat dan sempurna ciptaan-Nya.

  •  

                  Ekzema radang kulit

    BIASA kita lihat kanak-kanak yang pipinya mempunyai tompok kemerah-merahan seperti melepuh. Ramai menyangka ia kurap susu tetapi sebenarnya masalah itu adalah ekzema, iaitu kulit sensitif yang bukan saja berlaku pada kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa.
    Dikenali juga sebagai atopic dermatitis, ia berlaku disebabkan jangkitan bakteria di kawasan berpeluh yang menyebabkan kulit menjadi kemerahan, gatal dan berkerak. Ruam merah berkenaan kelihatan seperti kulit melecur.

    Radang kulit ini berlaku pada semua bangsa dan pelbagai peringkat umur.
    Kira-kira 85 peratus kes dihidapi kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian tubuh, misalnya di lipatan leher, lengan, kaki, hidung, muka dan pelipat kaki.


    Penyakit ini boleh pulih tetapi bergantung kepada ketahanan antibodi seseorang sama ada pada usia dua, enam atau 12 tahun. Dalam sesetengah kes, penyakit ini dihidapi pesakit hingga ke akhir hayat.

    Komplikasi ekzema ialah gatal menyebabkan pesakit sering menggaru. Akibatnya, mereka terdedah kepada jangkitan kuman serta menyebabkan nanah. Ada pesakit yang mengalami ekzema daripada kepala hingga ke tubuh.

    Jika ekzema dihidapi serius, steroid akan digunakan untuk merawat masalah itu atau pesakit dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan selanjutnya.

    Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Syed Nazir Ms Kadir berkata, ekzema bukan penyakit popular satu masa dulu, tetapi bilangan penghidapnya kini semakin meningkat disebabkan faktor persekitaran dan pemakanan.

    “Semua orang terdedah kepada risiko mendapat ekzema tetapi risiko lebih tinggi kepada yang ada sejarah penyakit tertentu seperti asma, alergi dan ekzema dalam keluarga,” katanya.

    Menurutnya, disebabkan salah tanggapan ekzema boleh berjangkit, ada individu menjauhi pesakit ekzema. Bagaimanapun, penyakit radang kulit itu bukan penyakit berjangkit, sebaliknya berpunca daripada sistem imun yang lemah.

    “Jangan buat kanak-kanak penghidap ekzema berasa tersisih. Emosi mereka terganggu kerana penyakit ini membataskan aktiviti mereka.

    “Mereka tidak boleh bermain seperti kanak-kanak lain kerana penyakit ekzema menjadi lebih buruk apabila mereka berpeluh,” katanya.

    Dr Syed Nazir berkata, penyakit itu datang dan pergi menyebabkan pesakit harus mengambil langkah pencegahan bagi mengelak ia berulang.

    Antara perkara yang perlu dihindarkan pesakit ialah menggunakan sabun mandi yang mempunyai pewangi kerana ia mengandungi lebih banyak bahan kimia yang boleh menyebabkan kulit kering.

    Pesakit juga perlu mengelak berada di tempat panas kerana kulit mereka yang sensitif akan memberi kesan buruk apabila berpeluh.

    Mereka juga menghindarkan kulit daripada bahan atau perkara yang boleh mencetuskan ekzema seperti kosmetik, pakaian, sabun pencuci pakaian mahupun barang kemas. Selain itu, elak juga pakaian tebal yang mudah membuatkan mereka berpeluh.

    Pesakit harus menyapu pelembap bagi mengelak kulit kering. Jika ekzema dihidapi serius, steroid akan digunakan untuk mengurangkan masalah itu.


    PUNCA

    Keturunan, alahan, kulit yang kering, gatal dan sensitif pada cuaca panas dan kain berbulu. Juga boleh terjadi akibat jangkitan virus, penggunaan bahan kimia seperti sabun, pembersih atau minyak wangi mahupun alahan kepada bahan makanan atau lain-lain bahan yang boleh menyebabkan alahan.


    GEJALA

    Tompok yang gatal, kekeringan kulit pada tangan, leher, muka, dan kaki, kemerahan dan rasa terbakar, kulit bersisik dan pertukaran warna kulit atau bengkak kecil yang berair.


    KAEDAH RAWATAN

    Doktor akan memberi ubat pencegah gatal seperti antihistamin, losyen pelembap, krim untuk menahan kekeringan dan kegatalan, krim steroid untuk kes ekzema yang teruk dan antibiotik jika berlaku jangkitan kuman.


    TIPS MENGURANGKAN GEJALA

    Letakkan anak di bilik selesa dan nyaman, elak mandi air panas/suam, elak memakai baju berlapis-lapis, guna pakaian jenis kapas dan nipis, elak fabrik kasar, jangan guna sabun wangi apabila mandi dan guna krim pelembap selepas mengelap anak. Awasi makanan yang menyebabkan alahan serta dapatkan nasihat doktor.